arena

Liridon kini rakyat Malaysia

Oleh Firdaus Hashim

IMPIAN Liridon Krasniqi untuk menjadi pemain naturalisasi kedua negara selepas Mohamadou Sumareh semakin hampir apabila pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu menerima taraf kewarganegaraan Malaysia hari ini.

Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam berkata, program pengambilan pemain naturalisasi yang dicetuskan Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin diharapkan dapat memantapkan lagi skuad Harimau Malaya selepas ini.

Katanya, FAM akan segera menghantar dokumen rasmi kepada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) bagi mendapatkan kelulusan akhir daripada badan induk dunia itu.

“FAM dengan rasa berbesar hati ingin memaklumkan bahawa Liridon sudah sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas dia menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya.

“Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari 2020 kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada FIFA.

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan.

“Diharap kehadiran Liridon sebagai pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh dalam skuad Harimau Malaya nanti akan dapat memperkasakan lagi pasukan,” kata Stuart hari ini.

Disiarkan pada: February 3, 2020 @ 6:04pm
d