arena

Luncur ombak ada masa depan cerah

Oleh BERNAMA

WALAUPUN gagal meraih sebarang pingat pada penyertaan sulungnya di Sukan Sea Filipina, Disember tahun lalu, Persatuan Luncur Ombak Malaysia (PLOM) tetap optimis masa hadapan sukan luncur ombak di negara ini adalah cerah.

PLOM menyertai empat acara sukan luncur ombak yang pertama kali diperkenalkan pada Sukan SEA yang ke 30 itu, iaitu ‘shortboard’ dan ‘longboard’ bagi lelaki dan wanita.

“Melalui pengalaman di Sukan Sea, kita mendapati peluncur ombak negara memerlukan lebih banyak pendedahan, khususnya menyertai luncur ombak di luar negara untuk memperoleh pengalaman dari aspek teknikal dan taktikal bersesuaian dengan tempat pertandingan luncur ombak diadakan.

“Sukan luncur ombak bergantung sepenuhnya pada faktor ombak, justeru kemampuan dan kesesuaian dalam memilih peralatan yang digunakan boleh membantu peluncur untuk meningkatkan teknik dan skil meluncur,” kata presiden PLOM, Mohd Zurqaany Mohd Zahari.

Untuk meningkatkan pembangunan sukan luncur di negara ini, PLOM merangka beberapa program jangka panjang dan jangka pendek, sekali gus bertujuan mencungkil bakat baharu.

Katanya, PLOM juga bercadang menghantar peluncur ombak kebangsaan untuk menyertai pertandingan di luar negara bagi keperluan meraih mata merit.

Zurqaany berkata, musim meluncur ombak di negara ini agak terhad berbanding Indonesia, Thailand dan Filipina, yang mempunyai musim ombak hampir sepanjang tahun.

“Selain itu, PLOM bakal menganjurkan kejohanan luncur ombak peringkat kebangsaan di negeri Pahang, Sabah, Johor dan Terengganu, kerana negeri-negeri ini adalah lokasi tradisi sukan luncur ombak selain faktor geografinya yang berada di pantai timur negara.

“Kita berharap dapat melahirkan bakat baharu dalam sukan luncur ombak melalui pertandingan ini kelak. PLOM juga akan menjalinkan kerjasama dengan persatuan negeri atau kelab bagi mencapai matlamat itu,” katanya.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 8:00am
d