arena

TLHT berpesta gol

Oleh Zaid Salim

PASUKAN Hoki Wanita Terengganu (TLHT) berpesta gol apabila mudah membenam Sabah 5-0 dalam aksi Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) di Stadium Hoki Kuala Terengganu, hari ini.

Turun selaku pasukan di tangga kedua, TLHT mula merobek pintu gol pelawat pada minit ke-14 menerusi pukulan sudut penalti Nursyafiqah Mohd Zain.

Memasuki minit ke-22, TLHT hampir mencipta gol kedua menerusi cubaan Fazilla Sylvester Silin yang menguis bola ke pintu gol, namun pelawat bernasib baik apabila sempat dikeluarkan pemain lawan untuk melakukan serangan balas.

Kepantasan penjaga gol TLHT, Guzal Bakhavaddin mengawal gawang, berjaya menyelamatkan pintu golnya selepas menafikan pukulan deras penyerang Sabah, Melanie Juim.

Bersambung babak kedua, TLHT mengambil kesempatan beraksi di laman sendiri meningkatkan asakan dan berjaya mencipta gol kedua menerusi tolakan

Fatin Naimah Zaki yang menerima hantaran daripada Fazila pada minit ke-33.

Tuan rumah menambah dua lagi gol padang melalui Nuraslinda Said pada minit ke-44 dan Auni Atikah Gahni pada minit ke-49.

Disusuli jaringan Juliani Mohamad Din pada minit ke-56 bagi melengkapkan kemenangan 5-0 TLHT menerusi pukulan sudut penalti dan kedudukan kekal sehingga wisel penamat.

Kemenangan TLHT selaku juara bertahan masih meletakkan mereka lima mata di belakang pendahulu liga, Hockademy KL yang menang 3-2 ke atas PKS-Uniten.

“Walaupun menang besar, saya belum berpuas hati sepenuhnya dengan prestasi pasukan hari ini kerana masih ada kesilapan teknikal yang dilakukan pemain.

“Apapun secara positif saya lihat pemain mula memahami corak taktikal yang ingin diterapkan,” kata jurulatih TLHT, Nasihin Nubli Ibrahim.

Disiarkan pada: February 4, 2020 @ 11:30pm
d