arena

Icardi bantu PSG kukuh cengkaman

Oleh Reuters

MAURO Icardi kembali temui sentuhah penyudah apabila membantu Paris St Germain menewaskan Nantes 2-1 di tempat lawan sekali gus membolehkan juara Perancis itu mengukuhkan cengkaman Ligue 1, awal pagi tadi.

Icardi yang kemarau jaringan dalam enam aksi kompetitif terakhir menembusi gawang lawan setengah jam permainan bermula dan Thilo Kehrer menjarakkan kedudukan selepas rehat sebelum Moses Simon menjaringkan gol tuan rumah pada minit ke-68.

PSG kini meraih 58 mata daripada 23 perlawanan dan mengatasi pasukan di tangga kedua, Olympique de Marseille yang akan menentang St Etienne awal pagi esok dengan 15 mata.

Nantes terperosok di tangga ke-10 dengan 32 mata.

Jaringan awal Loic Remy membolehkan pasukan di tangga keempat Lille meraih 37 mata selepas menang 1-0 ke atas Stade Rennais di tempat sendiri.

Tiga hari selepas berang digantikan ketika PSG membelasah Montpellier 5-0, penyerang Perancis, Kylian Mbappe beraksi bersama Icardi dengan Neymar tersisih susulan kecederaan dada.

Icardi yang kali terakhir menjaringkan gol ketika menewaskan St Etienne 6-1 pada suku akhir Piala Liga hampir sebulan lalu meletakkan PSG di depan pada minit ke-29 selepas menyambar bola muntah rembatan Angel di Maria.

PSG kini menjaringkan gol pada 31 aksi terakhir di tempat lawan, hanya satu di belakang rekod milik Sedan yang dilakukan pada 1957-59.

Kehrer menggandakan jaringan pada minit ke-57 apabila menanduk sepakan sudut Di Maria pada minit ke-57 untuk jaringan PSG ke-100 dalam semua kejohanan musim ini.

Simon merapatkan jurang hasil tolakan jarak dekat selepas tampanan kurang kemas pemain pertahanan, Presnel Kimpembe tetapi PSG cekal bertahan untuk meraih kemenangan ke-10 daripada 11 aksi liga terakhir.

Dalam perlawanan lain, Monaco menang kali pertama aksi Ligue 1 tahun ini selepas menewaskan Angers 1-0 di tempat sendiri hasil jaringan babak pertama, Stevan Jovetic yang melonjakkan mereka ke tanggan kesembilan dengan 32 mata.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 8:41am
d