arena

Kane tampil dua aksi terakhir Spurs

Oleh Reuters

PENYERANG Tottenham Hotspur dan England, Harry Kane mungkin kembali beraksi dua perlawanan terakhir Liga Perdana pada awal Mei susulan pembedahan hamstring, menurut pengurus, Jose Mourinho kepada wartawan, awal pagi tadi.

Kane menjalani pembedahan merawat tendon di bahagian kiri hasmtring bulan lalu dengan Spurs meramalkan dia kembali berlatih pada April selepas mengalami kecederaan ketika mereka tewas 0-1 kepada Southampton pada hari Tahun Baru.

Bercakap ketika sidang media menjelang aksi ulangan pusingan keempat Piala FA menentang Saints awal pagi esok, Mourinho ditanya sama ada Kane yang menjaringkan 27 gol untuk kelab dan negaranya boleh beraksi sebelum tamat kempen musim ini.

"Aksi teraksi menentang Leicester di tempat sendiri, mungkin kami perlukan perlawanan itu untuk sesuatu. Tempat keempat, kelima atau keenam. Mungkin dia boleh membantu kami pada perlawanan itu,” kata Mourinho.

"Semuanya ok. Dia sedang menjalani rawatan. Tiada tekanan, dia teruskan sesi seperti biasa. Lebih baik tidak meletakkan tekanan dan jangkaan. Kita tunggu.”

Merujuk perlawanan menentang Leicester di tempat sendiri pada 9 Mei dan aksi terakhir Tottenham menentang Crystal Palace di tempat lawan pada 17 Mei, Mourinho berkata, “Saya fikir dia boleh beraksi dua perlawanan itu.”

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 10:43am
d