arena

'Jangan main tembak aje' - Messi

Oleh Reuters

LIONEL Messi mengkritik Pengarah Sukan Barcelona, Eric Abidal yang menyatakan ramai pemain tidak bekerja keras ketika di bawah kendalian bekas jurulatih, Ernesto Valverde.

Abidal dan presiden, Josep Maria Bartomeu memecat Valverde bulan lalu dan menggantikannya dengan Quique Setien.

Abidal yang juga bekas rakan sepasukan Messi menjelaskan mengapa Valverde dipecat walaupun membawa kelab ke puncak La Liga ketika ditemuramah akhbar Sepanyol, Diario Sport.

"Ramai pemain tidak puas hati atau bekerja keras dan terdapat juga masalah komunikasi dalaman,” kata Abidal.

"Hubungan di antara jurulatih dan bilik persalinan selalu baik tetapi sebagai bekas pemain pemain, saya dapat hidu sesuatu. Saya beritahu kelab pandangan saya dan kami mengambil keputusan mengenai Valverde.”

Messi bagaimanapun membalas kritikan Abidal menerusi post di Instagram selain menyebarkan imej kata-kata pengarah sukan itu.

"Secara jujurnya, saya tidak suka lakukan perkara ini tetapi saya fikir setiap orang perlu bertanggungjawab dengan tugas dan keputusan mereka,” kata Messi dalam Instagram.

"Pemain bertanggungjawab apa yang berlaku di atas padang dan kami yang pertama mengaku apabila prestasi tak bagus. Ketua jabatan sukan juga perlu bertanggungjawab dan semua keputusan mereka lakukan.

"Akhir sekali saya fikir jika anda berkata mengenai pemain, anda perlu berikan nama mereka. Jika tidak, akan menjadikan semua orang kotor dan bersalah serta mengundang tanggapan tidak tepat. ”

Abidal dan Messi beraksi bersama Barcelona di antara 2007 dan 2013 dan pertahanan Perancis itu kembali ke kelab selepas bersara sebagai pengarah sukan pada Jun 2018.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 11:10am
d