arena

Rooney tak sabar 'reunion' menentang United

Oleh Reuters

KAPTEN Derby County, Wayne Rooney sudah tidak sabar menjelang aksi ‘reunion’ Piala FA menentang Manchester United bulan depan, menurut pengurus, Phillip Cocu, awal pagi tadi.

Pemain berusia 34 tahun itu menjaringkan penalti ketika Derby menewaskan Northampton Town 4-2 dalam perlawanan ulangan pusingan keempat bagi menempah pertemuan dengan United, kelab di mana dia menghabiskan tempoh 13 tahun dan meninggalkannya dengan rekod penjaring terbanyak.

Pertembungan dengan United itu yang pertama buat Rooney sejak 2018 ketika mewakili Everton sebelum beraksi di Major League Soccer bersama DC United.

"Dia pulang dari States, menyertai kami dan kini bakal menentang bekas kelab yang menyaksikan karier hebatnya berkembang. Sangat instimewa dan saya pasti dia akan bersedia,” kata Cocu kepada wartawan.

Rooney menjadi nadi utama kepada kelab Championship itu sejak tampil kali pertama bulan lalu dan menjaringkan gol dalam tiga penampilan terakhir.

"Ia akan menjadi perlawanan yang cantik bukan sahaja kepada Wayne tetapi semua orang di kelab,” kata Cocu.

"Mungkin dalam carta liga, semua orang menjangkakan mereka dalam kelompok atas tetapi itu tidak bermakna mereka tidak beraksi dengan baik. Mereka masih pasukan yang gagah tetapi kami akan melakukan apa sahaja dalam menghasilkan perlawanan yang menarik dan meraih keputusan positif.”

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 2:39pm
d