arena

FIM lanjut penggantungan Andrea

Oleh BERNAMA

PERSEKUTUAN Sukan Permotoran Antarabangsa (FIM) melanjutkan tempoh penggantungan pelumba MotoGP, Andrea Iannone serta melarangnya daripada menyertai mana-mana perlumbaan motosikal atau aktiviti berkaitan, sehingga notis selanjutnya.

Pelumba berusia 29 tahun dari Itali itu didapati positif bahan terlarang dalam senarai Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) semasa menyertai Kejohanan Grand Prix Malaysia 2019 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC), 3 November tahun lalu dan digantung sementara sejak 17 Disember lalu.

Pelumba pasukan Aprilia itu kemudiannya mencabar keputusan itu dan meminta untuk ujian sampel B yang kemudiannya juga didapati positif.

“Sesi perbicaraan di Mahkamah Tatatertib Antarabangsa (CDI) berlangsung di ibu pejabat FIM (di Switzerland) di hadapan panel tiga hakim CDI di mana Andrea berpeluang mengemukakan kesnya.

“Prosiding masih berlangsung sehingga keputusan CDI diberikan dan sehingga keputusan itu dimuktamadkan, penggantungan Andrea kekal.

“Berdasarkan tataetika Anti-Doping WADA dan FIM, FIM tidak boleh memberikan sebarang maklumat lanjut pada masa ini,” kata FIM dalam satu kenyataan.

Berikutan lanjutan tempoh penggantungan itu, Andrea bakal terlepas peluang sesi ujian rasmi MotoGP musim 2020 di SIC, Sepang hujung minggu ini.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 8:46pm
d