arena

Danial rehat hingga Mac

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil mengesahkan khidmat pemain tengah, Danial Amier Norhisham tidak dapat ditagih sebaik saingan Liga Malaysia (Liga M) bermula pada 28 Februari ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, pemain berumur 23 tahun itu tidak dapat beraksi kerana mengalami kecederaan yang memerlukannya menjalani pembedahan pada kakinya.

"Agak terkilan apabila khidmat Danial terpaksa dilupakan seketika kesan daripada kecederaan hingga perlu menjalani pembedahan.

"Saya jangkakan Danial hanya benar-benar pulih Mac depan dan kembali cergas pada April untuk kembali bersama pasukan.

"Bagaimanapun, kita tidak perlu merintih atau berasa kecewa disebabkan ketiadaan Danial kerana percaya pemain lain mampu untuk memikul tanggungjawab diberikan," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Nidzam mengesahkan pemain import dari Serbia, Nikola Raspopovic turut mengalami kecederaan pada lutut kanan.

Katanya, setakat ini, pemantauan dilakukan untuk memastikan Raspopovic sempat pulih dan beraksi pada perlawanan pertama The Fighters apabila bertemu PJ City FC, 1 Mac ini.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 9:33pm
d