arena

Daniel cabar kekang gawang

Oleh Asrol Awang

PENJAGA gol muda Pahang, Daniel Wafiuddin Sadun tidak mahu dibayangi dua bekas penjaga gol kebangsaan bagi merebut posisi penjaga gol utama skuad itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Penjaga gol yang bermain bersama UKM FC musim lalu tekad untuk bersaing dengan Helmi Eliza Elias dan Sharbinee Allawee Ramli biarpun kedua-dua pemain berkenaan memiliki pengalaman luas dalam Liga M.

"Saya sedar perlu berdepan cabaran besar apabila kembali bersama Pahang musim ini terutama kelebihan yang dimiliki Helmi dan Sharbinee.

"Namun, sebagai pemain, saya akan berusaha untuk meyakinkan barisan kejurulatihan yang diketuai ketua jurulatih (Dollah Salleh).

"Bagi saya, mereka adalah nama besar bukan saja dalam skuad Pahang, malah pernah menyarung jersi skuad negara sebelum ini," kata pemain berumur 23 tahun itu.

Musim ini, skuad Tok Gajah menyenaraikan dua penjaga gol baru iaitu Sharbinee dan Daniel selain mengekalkan Helmi.

Daniel yang pernah bersama Pahang dari 2016 hingga 2018 berterima kasih di atas kepercayaan Dollah yang memberi sokongan dan semangat kepadanya.

Katanya, pengalaman semusim bersama UKM FC musim lalu dalam saingan Liga Perdana membantu meningkatkan prestasi terutama dari segi pengalaman dan keyakinan pemain kelahiran Kuala Rompin, Pahang itu.

Disiarkan pada: February 5, 2020 @ 9:42pm
d