arena

Aitken sertai F1 Williams

Oleh Agensi

PELUMBA Britain, Jack Aitken menyertai pasukan Formula Satu (F1) Williams sebagai pemandu simpanan pada tahun ini.

Aitken, 24, bertindak sebagai pemandu simpanan dan ujian pasukan Renault sejak dua tahun lalu akan menyertai satu sesi latihan di Grand Prix pada tahun ini.

Dia akan tampil dengan tugasnya pada semua perlumbaan dan mungkin boleh menggantikan pelumba George Russell dan Nicholas Latifi jika seorang daripada mereka cedera atau tidak sihat hingga tidak dapat berlumba.

Aitken yang akan bekerja dalam program simulator Williams sepanjang tahun ini menyifatkan penyertaan bersama Williams sebagai satu penghormatan besar.

Timbalan Prinsipal Pasukan, Claire Williams berkata: “Ia jelas terhadap apa yang dicapai Aitken hingga kini sebagai pelumba muda dengan karier hebat menanti dirinya pada masa akan datang dan kami percaya dia mempunyai ciri-ciri tepat untuk berada di puncak dalam sukan pemotoran ini.

“Aitken membuktikan kemampuan dalam Formula 2 FIA dan GP3 dan kami menantikan untuk melihat apa yang mampu dicapai sebagai pemandu simpanan rasmi pasukan.”

Aitken menang tiga perlumbaan F2 tahun lalu ketika menyertai lima kejohanan dan sebelum itu dia muncul naib juara dalam GP3 pada 2017.

Pasukan Williams bergelut pada dua musim lalu menamatkan perlumbaan di tempat terakhir pada 2018 dan 2019, malah sering ketinggalan sepanjang perlumbaan tahun lalu.

Sasaran pasukan itu pada musim ini memperbaiki sekurang-kurangnya dari segi pungutan mata bagi membolehkan mereka bersaing dengan pelumba kereta lain di mana ia perkara yang bukan luar biasa berlaku seperti tahun lalu.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 12:18am
d