arena

Lazio gagal tembusi kubu Verona

Oleh AFP

LAZIO terlepas peluang merampas tangga kedua Serie A selepas hanya mampu seri tanpa jaringan dengan Hellas Verona, awal pagi tadi.

Perlawanan itu terpaksa dijadualkan semula daripada Disember lalu bagi membolehkan Lazio menentang Juventus pada Piala Super Itali di Arab Saudi.

Skuad Simone Inzaghi hanya satu mata di belakang Inter Milan yang menduduki tangga kedua dan empat mata di belakang pendahulu, Juventus.

"Perlawanan ini sangat sengit. Walaupun keputusan mengecewakan, kami tetap puas hati,” kata Inzaghi.

"Kami melakukan 27 percubaan. Dua kali kena tiang, jadi apa lagi boleh saya minta daripada pemain. Mereka memberikan segalanya.”

Lazio menyamai rekod 17 perlawanan Serie A tanpa kalah berturut-turut ketika dikendalikan Sven-Goran Eriksson pada 1999.

"Rekod itu sudah pasti membanggakan saya,” kata Inzaghi yang beraksi di bawah kendalian Eriksson dan membantu Lazio menjulang Scudetto terakhir mereka pada musim 1999-2000.

Penjaring terbanyak Serie A, Ciro Immobile yang menjaringkan 25 gol musim ini turut terlepas peluang menambah koleksi di Stadio Olimpico.

Disiarkan pada: February 6, 2020 @ 9:03am
d