arena

TSC langkah kanan

Oleh Aida Adilah Mat

PASUKAN Sapura Cycling Team (TSC) memulakan saingan dengan langkah kanan apabila muncul pasukan tempatan terbaik Peringkat 1 PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) di sini hari ini hasil bantuan pelumbanya, Ahmet Orken.

Ahmet menamatkan perlumbaan sejauh 85.6 kilometer (km) yang berakhir di Padang Merdeka, Sarawak itu dikedudukan tempat ketiga.

Orken sekali lagi menjadi taruhan terbaik TSC untuk cuba meraih kemenangan peringkat kedua dari Kuala Terengganu ke Kerteh, esok.

Namun buat anak jati Setiu, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff, dia berharap dapat mempamerkan kayuhan terbaiknya di kampung halamannya bersama TSC biarpun tahu kesukaran yang bakal dihadapi.

“Esok di Terengganu adalah laluan landai dan tentunya saya akan melakukan yang terbaik di laman sendiri.

“Tapi untuk perlumbaan 2020 saya seorang saja pelumba tempatan, berbanding sebelum ini ada (Muhamad) Zawawi (Azman). Jadi agak mencabar buat saya kerana pasukan begitu mengharapkan sesuatu untuk LTdL kali ini dan saya mahu melakukan yang terbaik buat mereka," kata Nur Aiman yang disandarkan harapan untuk menjadi pelumba terbaik Asia.

Esok saingan Peringkat 2 akan membabitkan laluan paling panjang pada edisi ke-25 sejauh 175.5 kilometer (km) dengan tiga zon pecutan ditawarkan di Chendering, Rantau Abang dan Bandar Al Muktafi Billah Shah.

Pasukan TSC kali ini menyandarkan harapan kepada Orken dari Turki, Cristian Raileanu (Moldova), Pierpaolo Ficara, Danilo Celano (Itali) dan Serghei Tvetcov (Romania) selain Aiman.

Disiarkan pada: February 7, 2020 @ 11:00pm
d