arena

'Orang Besi' hampir pasti

Oleh Syazwan Msar

’ORANG Besi’ Pahang, Dickson Nwakaeme hampir pasti terus bersama skuad Tok Gajah untuk saingan liga musim 2020 apabila dikatakan perbincangan bersama pihak pengurusan dan pemain terbabit sudah berada di peringkat akhir.

Sumber dari pengurusan Pahang berkata,pihaknya masih mengadakan perbincangan berkaitan pembayaran gaji kepada pemain berasal dari Nigeria itu.

Beliau berkata, Pahang yang mengamalkan perbelanjaan secara berhemah pada musim ini tidak mahu membayar terlampau mahal kepada pemain berkenaan sekali gus mendatangkan masalah pada masa akan datang.

“Pihak pengurusan sudah mengadakan perbincangan pada peringkat akhir dengan meminta pengurangan bayaran gaji pemain terbabit untuk musim ini.

“Jika segalanya berjalan lancar, Nwakaeme akan kembali menguatkan jentera serangan Pahang pada musim ini.

“Seperti sedia maklum, Nwakaeme adalah ikon kepada pemain dan penyokong Pahang seterusnya mampu membantu skuad Tok Gajah mencipta kejayaan pada musim ini,” katanya, di sini.

Musim lalu, Nwakaeme membuktikan dia penyerang berbisa selepas meledak 19 gol bersama Pahang, termasuk sembilan gol dalam saingan Piala Malaysia. Namun, pemain berumur 33 tahun itu gagal membantu skuad kendalian Dollah Salleh menjulang piala musim ini.

Pada penampilan sulung Nwakaeme bersama Pahang musim 2014, penyerang itu membantu Tok Gajah menjulang tiga trofi iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Selepas bersama Pahang pada 2014-2015, Nwakaeme menyarung jersi kelab Perancis, Angres SCO pada 2016 dan 2017.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 12:17am
d