arena

Liridon tampil aksi menentang UAE?

JIKA skuad kebangsaan Emiriah Arab Bersatu (UAE) bakal diperkuatkan dengan tiga tonggak naturalisasi dari Amerika Latin apabila berdepan Malaysia pada 26 Mac ini, skuad kendalian Tan Cheng Hoe juga dijangka dapat menurunkan pemain naturalisasi baharu negara, Liridon Krasniqi di Dubai nanti.

Sumber memberitahu Arena Metro, meskipun sebelum ini Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menyatakan tarikh pendaftaran pemain untuk aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 sudah ditutup November tahun lalu, ia sebenarnya masih dibuka dengan tarikh akhir pendaftaran pemain pada 20 Mac depan.

Jelasnya, ini bermakna Liridon dijangka berpeluang meraih caps pertama bersama skuad Harimau Malaya apabila menentang UAE.

“Sebelum ini ramai yang tahu Liridon hanya akan datang main selepas berakhir pusingan kedua kelayakan Piala Dunia ini.

“Maknanya, kalau ikutkan dia hanya boleh main kalau Malaysia layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia atau pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.

“Tapi sebenarnya tidak apabila pihak teknikal FAM mendapati bahawa tarikh akhir pendaftaran pemain sebenarnya ialah 20 Mac ini.

“Dan difahamkan, FAM sedang berusaha keras untuk daftarkan nama Liridon kepada FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa). Kalau tidak ada masalah, dia boleh main masa lawan UAE,” kata sumber.

Liridon, 28, pada Isnin lalu menerima taraf kewarganegaraan Malaysia daripada Jabatan Pendaftaran Negara selepas melepasi proses penaturalisasian dan kini tinggal selangkah untuk menyarung jersi Harimau Malaya.

Skuad negara di bawah kendalian Cheng Hoe, dijadual menentang UAE dalam saingan Kumpulan G pusingan kelayakan di Stadium Al Maktoum, Dubai pada 26 Mac, sehari selepas Liridon genap lima tahun beraksi di Malaysia.

UAE baru-baru ini ‘mengimport’ tiga pemain iaitu Sebastian Lucas Taglibue (Argentina) serta Caio Canedo Correa dan Fabio Virginio de Lima dari Brazil, sebagai usaha menguatkan pasukan.

Liridon yang pernah beraksi bagi pasukan Melaka United dan Kedah bakal menjadi pemain naturalisasi kedua negara, selepas pemain sayap Pahang, Mohamadou Sumareh menyarung jersi negara pada 2018.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 12:58am
d