arena

'Bundesliga pun Ok...'

Oleh Firdaus Hashim

BEKAS jurulatih kebangsaan, B Sathianathan menganggap kehebatan tonggak sayap Johor Darul Ta’zim (JDT), Safawi Rasid umpama pemain import dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Katanya, kepantasan dan kepintaran Safawi ketika berlari bersama bola di kakinya adalah aset utama yang dimiliki pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu.

Malah, berdasarkan pengamatannya selaku jurulatih berpengalaman, teknik permainan Safawi sebenarnya amat sesuai bermain di Liga Jerman iaitu Bundesliga dan Liga Eredivisie di Belanda.

“Bagi saya Safawi boleh bermain di Jerman dan Belanda. Dia ada teknik kawalan bola yang pantas serta amat agresif ketika memberi tekanan kepada pertahanan lawan.

“Ini kelebihan yang saya lihat amat sesuai untuk Safawi melebarkan sayapnya kalau mahu ke Eropah. Kalau boleh biar bermula dengan liga dari dua negara ini dulu, sebelum memikirkan liga England, Sepanyol dan lain-lain,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Safawi berhak menentukan masa depannya sekira ada tawaran daripada kelab luar.

“Dia muda lagi dan saya kira jika ada tawaran dia boleh fikirkan. Bagaimanapun, jika dia pilih untuk kekal di JDT sekalipun ia juga pilihan terbaik.

“Bagi saya JDT sebuah pasukan bagus kerana mereka sudah beraksi di tahap tertinggi iaitu di ACL (Liga Juara-Juara Asia). Ia pendedahan sangat tinggi buatnya apabila beraksi di pentas ACL.

“Tapi mungkin dia nak cuba mengubah angin dan cabaran baharu saya rasa tidak ada salahnya. Apapun terpulang kepadanya untuk tentukan masa depannya,” katanya.

Sebelum ini, bekas legenda Liverpool, Jamie Redknapp mengakui terpegun dengan aksi hebat Safawi terutama menerusi tendangan kaki kiri selepas melihat beberapa jaringannya ketika bersama JDT dan skuad negara di YouTube.

Redknapp menegaskan, Safawi memiliki potensi untuk diketengahkan di Eropah dan menyarankan supaya memberanikan diri mengorak langkah dengan mencontohi pemain muda Jepun, Takumi Minamino yang berani mencabar diri beraksi bersama Red Bull Salzburg di Austria sebelum dilamar Liverpool, Disember lalu.

Malah, bekas kapten The Reds itu turut mengandaikan gaya permainan Safawi mirip penyerang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah yang memiliki keberanian menggelecek dan ledakan kaki kiri yang padu.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 6:20am
d