arena

Messi bakal akhiri karier di Barca

Oleh Agensi

PEP Guardiola mula meredakan desas desus bahawa Lionel Messi mungkin menyertainya di Manchester City dan percaya penyerang itu akan mengakhiri karier di Barcelona.

Messi, 32, sudah meluangkan sebahagian besar karier bersama Barca namun dia mempunyai beberapa syarat untuk membenarkannya meninggalkan kelab itu dengan percuma pada musim panas ini.

Guardiola melatih Messi di Nou Camp antara 2008 dan 2012, menang tiga La Liga dan dua Liga Juara-Juara.

“Dia akan kekal di sana (di Barca), itu adalah permintaan saya,” kata bos City itu.

Guardiola meninggalkan Barca untuk menyertai Bayern Munich menjadi antara pengurus Barca paling berjaya apabila mendakap 14 trofi dalam empat musim.

Dia meneruskan kecemerlangan memenangi kejuaraan liga utama di Jerman dan memenangi Liga Perdana sejak dua musim lalu di City, walaupun ketika ini mereka ketinggalan agak jauh dengan 22 mata kepada pendahulu liga, Liverpool dengan hanya berbaki 13 perlawanan.

Messi yang memenangi anugerah pemain Ballon d'Or sebanyak enam kali, 10 kejuaraan liga dan empat Liga Juara-Juara masih dalam kontrak sehingga 2021.

Namun dia dikatakan bertelagah minggu ini dengan Pengarah Sukan Barcelona, Eric Abidal selepas warga Perancis itu menyalahkan pemain tidak berkerja keras di bawah kendalian bekas jurulatih Ernesto Valverde.

Barca tiga mata di belakang pendahulu liga Real Madrid dalam saingan La Liga namun Guardiola tidak mahu menyebelahi mana-mana pihak antara Messi dan Abidal - di mana kedua-dua pemain bekas pemain pasukannya - Guardiola menambah : “Saya tidak akan bercakap mengenai pemain untuk kelab lain.

“Saya fikir Messi akan menamatkan kariernya di sana.”

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 12:51pm
d