arena

Baiki Stadium Shah Alam dahulu

Oleh BERNAMA

SELANGOR mungkin terpaksa melupakan aksi Liga Malaysia (Liga-M) musim ini di Stadium Shah Alam, susulan kerosakan bumbung gelanggang keramat skuad Gergasi Merah itu, yang mengancam keselamatan penonton.

Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata, cadangan penambahbaikan hasil pemeriksaan awal sebelum ini, sudah dimaklumkan kepada Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) untuk segera melakukan kerja-kerja membaik pulih stadium berkenaan.

Beliau berkata, semua venue perlawanan Liga-M 2020 perlu mencapai tahap piawaian seperti ditetapkan sekurang-kurangnya seminggu sebelum sepak mula pada 28 Februari, atau Selangor berhadapan larangan menggunakan Stadium Shah Alam sebagai venue tuan rumah mereka, musim ini.

“Kita telah membuat semakan (kerosakan) ketika melakukan pemeriksaan pertama dan pihak FAS telah dimaklumkan untuk memberi perhatian serius kepada aspek bumbung dan padang. Kalau mereka tidak buat (baiki), stadium itu tidak akan diluluskan.

“Tetapi saya difahamkan Selangor sedang dalam proses memastikan perkara itu dibaik pulih dan sebarang penambahbaikan akan dibuat. Seminggu sebelum liga bermula kita (MFL) akan mengemas kini status venue pertandingan untuk musim ini,” katanya.

Mohd Shazli yang ditemui pada Majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Telekom Malaysia Berhad (TM), anak syarikatnya, TM Multimedia (TMM) dan MFL, semalam berkata, beberapa venue sudah mendapat kelulusan hasil pemeriksaan awal sebelum ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung FAS Dr Johan Kamal Hamidon yang sedia maklum berhubung kerosakan stadium tersebut, menafikan pihaknya diminta segera mengatasi masalah tersebut sebelum liga bermula.

“Secara jujurnya, saya tidak tahu mengenai pemeriksaan tersebut dan juga pemintaan mereka untuk kami (FAS) perbaiki. Setakat ini kami tidak mempunyai sebarang rancangan untuk Stadium Shah Alam dari segi pembaikan padang dan juga bumbung, sebab kami tidak mempunyai kapasiti dan sumber untuk membuat apa-apa di situ.

“Tetapi saya tahu yang Darul Ehsan Facilities Management (DEFM) telah mengeluarkan satu tender untuk pembaikan bumbung beberapa bulan lepas, jadi mereka sedang dalam proses untuk membaiki stadium, tetapi FAS memang tidak terlibat dalam hal ini,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Johan berkata, Selangor akan memberi kerjasama sekiranya diminta untuk menggunakan gelanggang lain pada musim ini.

Pada Kejohanan Selangor Asia Challenge (SAC) 2020, bulan lalu, keadaan Stadium Shah Alam mendapat perhatian pelbagai pihak, terutama dalam soal padang dan bumbung bocor, yang menyebabkan serpihan bumbung stadium jatuh di kawasan penonton.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 3:50pm
d