arena

Kedah perkenal jersi baharu

Oleh Izzali Ismail

PERSATUAN Bolasepak Kedah (KFA) memperkenalkan dua jersi baharu iaitu tuan rumah atau ‘home’ dengan warna hijau kuning dan jersi di tempat lawan atau ‘away’ berwarna merah untuk skuad Kedah bagi saingan Liga Malaysia musim 2020.

Sambutan pelancaran jersi yang dilakukan oleh pihak Lotto Malaysia di Football Republic cawangan Alor Setar ini di sempurnakan oleh Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris dan turut dihadiri para pegawai, barisan kejurulatihan Kedah, pemain skuad Lang Merah dan juga ratusan penyokong.

Menurut Setiausaha Kehormat KFA Asmirul Anuar Aris, beliau teruja apabila melihat semangat yang ditunjukkan oleh penyokong Kedah yang menunjukkan harapan yang cukup besar kepada pasukan musim ini.

“Sebelum ini kita melancarkan jersi ketiga dan ia memang habis dalam masa yang singkat, sebab coraknya yang berwarna serta lain dari yang lain.

“Jadi sasaran kita pada pelancaran jersi ‘home’ dan ‘away’ ini, kita harapkan penyokong mendapatkannya sebanyak mungkin kerana jika dilihat, peningkatan sokongan serta sambutan penyokong terhadap skuad Lang Merah meningkat dengan begitu drastik sekali pada musim ini.

“Sehubungan dengat semangat yang ditunjukkan itu, pihak KFA juga sentiasa bekerja bersungguh-sungguh untuk menaikkan lagi imej pengurusan, jurulatih dan pemain musim ini, seperti mengekalkan kejayaan yang dicapai oleh skuad Kedah diperingkat Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super mahupun di peringkat Asia.” katanya.

Sementara itu, Pengurus Besar Prestige Sports Sdn Bhd Norita Md Noor berkata, corak yang terdapat pada jersi merah Kedah pada tahun ini melambangkan kepak helang merah, simbolik semangat yang ada pada pasukan Kedah.

“Manakala corak struktur pada jersi ‘home’ pula melambangkan kejayaan dimana kita mahu menuju kejayaan dan jersi ketiga yang diperkenalkan sebelum ini lebih kepada corak yang istimewa atau ‘fancy’,” katanya.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Al-Ikhsan Sdn Bhd Vach Pillutla pula, beliau berkata pihaknya memperuntukkan belanja besar untuk membina jenama jersi Kedah ini dengan lebih meluas lagi.

“Kami mempromosi jersi ini di media sosial, pengiklanan luaran dan melalui cawangan-cawangan kami diseluruh negara dengan lebih berkesan kepada peminat,” katanya.

Disiarkan pada: February 8, 2020 @ 8:41pm
d