arena

Ronaldo cipta rekod

Oleh AFP

CRISTIANO Ronaldo menjadi pemain Juventus pertama menjaringkan gol dalam 10 perlawanan Serie A berturut-turut namun juara bertahan itu tewas 1-2 di tangan Hellas Verona hari ini seterusnya saingan kembali terbuka untuk perebutan kejuaraan liga.

Ronaldo yang berusia 35 tahun minggu ini, meledak gol selepas 65 minit, jaringan ke-15 dalam 10 perlawanan dan kini mengumpul 20 gol dalam liga.

Pemenang lima kali Ballon d’Or itu semakin hampir dengan rekod Serie A, 11 gol berturut-turut dilakukan Gabriel Batistuta dan Fabio Quagliarella.

Namun Juventus perlu membayar harga mahal kerana kesilapan pertahanan dengan Fabio Borini menyamakan kedudukan buat Verona berbaki 15 minit.

Kemudian penyerang veteran, Giampaolo Pazzini memberi kemenangan untuk pasukannya menerusi penalti empat minit sebelum tamat selepas bola terkena tangan Leonardo Bonucci.

Juventus kini tiga mata di depan Inter Milan yang berpeluang menyamakan mata apabila pasukan itu akan berdepan skuad diketuai Zlatan Ibrahimovic, AC Milan awal pagi esok di San Siro.

Kekalahan itu adalah yang ketiga buat Maurizio Sarri tetapi kedua dalam tiga perlawanan selepas tewas 1-2 kepada Napoli dua minggu lalu.

“Kita perlu faham bahawa ia bukanlah keputusan yang baik.

“Kami perlu segera sedar bahawa kami tidak boleh leka seperti berlaku hari ini,” kata Sarri. - AFP

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 9:15am
d