arena

Pochettino calon ganti Solskjaer

Oleh Agensi

MAURICIO Pochettino dilihat masih belum mahu mengalah untuk menjadi pengurus Manchester United musim depan.

Bekas pengurus Tottenham Hotspur itu yang masih menganggur selepas dipecat oleh pengerusi Spurs, Daniel Levy tiga bulan lalu, masih berada dalam radar United.

Bagaimanapun satu-satunya yang boleh dilakukan United adalah menyingkirkan pengurus ketika ini, Ole Gunnar Solskjaer sekiranya kelab itu sekali lagi menamatkan kempen dengan hambar dan gagal menduduki kelompok enam pasukan terbaik liga.

Dengan tiada perlawanan besar di Eropah musim ini dan United ketika ini menduduki tangga ketujuh liga iaitu enam mata ketinggalan di belakang Chelsea di tangga keempat, pemilik kelab itu dilihat mula bimbang dengan pendapatan kelab.

Penaja utama seperti Adidas dan Chevrolet dipercayai memiliki klausa Liga Juara-Juara dalam kontrak mereka yang akan mengurangkan wang United jika tidak berada dalam kelompok empat terbaik.

Dengan prospek musim kedua tanpa beraksi di Liga Juara-Juara, pemilik United semakin tertekan dan tidak menolak untuk membawa Pochettino.

Pengendali berusia 47 tahun itu masih bersabar tetapi difahamkan dia teruja menjadi antara calon menguruskan United.

Ia pasti mencetuskan kebimbangan kepada Solskjaer meskipun naib pengerusi eksekutif kelab, Ed Woodward komited untuk menyokong pengendali dari Norway itu ketika United sedang melalui proses perubahan.

Kegagalan untuk menduduki empat terbaik liga pada baki 13 perlawanan lagi akan menyebabkan masa depan Solskjaer semakin terancam.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 10:41am
d