arena

Sazali resah

Oleh Mohd Amin Jalil

KEPUTUSAN dalam beberapa perlawanan persahabatan pramusim yang kurang memuaskan ternyata meresahkan ketua jurulatih Negeri Sembilan, Sazali Saidun, menjelang sepak mula saingan Liga Malaysia (Liga-M), hujung bulan ini.

Beliau akui biarpun dari segi pembentukan pasukan, latihan dan program peningkatan prestasi pemain berjalan lancar, namun keputusan aksi persahabatan dilihat belum mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Saya akui persiapan pramusim Negeri Sembilan kurang cantik selepas pasukan tewas dalam beberapa aksi persahabatan sama ada diadakan di tempat sendiri mahupun di gelanggang lawan.

Pemain dilihat masih mencari rentak terbaik selain keserasian antara satu sama lain yang belum mencapai tahap tertinggi, dikenal pasti antara faktor mempengaruhi situasi itu.

“Malah, corak taktikal yang cuba saya terapkan dalam pasukan kali ini juga belum dapat difahami dan diterjemahkan sepenuhnya oleh pemain, namun ruang untuk memperbaiki segala kelemahan masih ada,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Jersi dan Memperkenalkan Pemain Negeri Sembilan Musim 2020, di Pusat Sukan Paroi, di sini, petang tadi.

Setakat ini, Negeri Sembilan sudah mengadakan empat aksi persahabatan iaitu menentang UiTM FC, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Melaka United (MU) dan Terengganu FC II (TFC II).

Sazali yang baharu dilantik menjawat jawatan itu buat pertama kali musim ini berkata, aksi persahabatan seterusnya ialah menentang Pahang di Temerloh, Selasa ini dan UiTM di Paroi, 14 Februari.

Pengendali berasal dari Johor itu, bagaimanapun yakin kelemahan yang ada dalam pasukan itu akan dapat diperbaiki pada aksi persahabatan berikutnya.

“Saya harap dalam kedua-dua aksi itu nanti kita dapat perbaiki segala kelemahan,” katanya yang mengakui masih belum mempunyai senarai muktamad mengenai barisan kesebelasan utama pasukan itu.

Terdahulu, Tunku Besar Tampin merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Sembilan (PBNS) Syed Razman Syed Idrus Al-Qadri, menyempurnakan majlis berkenaan.

Turut hadir, Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Tuanku Muhriz dan Presiden Persatuan Squash Malaysia (SRAM), Tunku Zain Al-’Abidin Tuanku Muhriz.

Disiarkan pada: February 9, 2020 @ 8:37pm
d