arena

Jumlah tajaan biarlah rahsia [METROTV]

Oleh Firdaus Hashim

JUMLAH tajaan Liga Malaysia (Liga-M) terus diletakkan dalam 'fail merah' oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dengan penyokong bola sepak tempatan tidak dibenarkan mengetahui jumlah sebenar tajaan musim ini.

MFL mengorak langkah seterusnya dengan menandatangani penajaan kedua bersama syarikat perbankan terkemuka negara, CIMB Group Holdings Berhad untuk tempoh dua musim.

Ia adalah penajaan kedua terbesar selepas mengikat penajaan dengan Telekom Malaysia (TM) pada minggu lalu selama tiga musim, di mana nilai tajaan bagi kedua-dua entiti itu tidak didedahkan.

Alasan yang diberikan tetap sama iaitu bagi menghormati permintaan pihak penaja yang tidak mengizinkan jumlah tajaan didedahkan kepada umum ketika peminat sebagai pemegang taruh penting dalam menyemarakkan saingan liga tempatan turut mempunyai hak untuk mengetahuinya.

Mungkin daripada segi satu sudut tindakan MFL itu tidak ada salahnya, namun daripada segi ketelusan dalam urus tadbir, ia boleh diragui.

Bagaimanapun, Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, biarpun nilai sebenar tajaan tidak diumumkan kepada peminat, namun setiap pasukan dalam Liga-M akan dimaklumkan mengenai jumlah berkenaan.

“Kalau kita bagi tahu berapa jumlah sudah tentu setengah pihak akan memberikan reaksi negatif ataupun positif tapi bagi saya di pihak MFL kita perlu menjaga ikatan bersama penaja kita dan jumlah ini bukanlah isu yang besar.

“Apa yang penting, MFL dapat penajaan yang baharu dan berterusan untuk memastikan rakan kongsi dan MFL dapat bergerak ke hadapan,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian penajaan bersama CIMB yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tengku Datuk Sri Zafrul Aziz, di sini hari ini.

Disiarkan pada: February 10, 2020 @ 6:40pm
d