arena

JDT tak gerun berdepan Vissel Kobe

Oleh Rizar Mohd Noor

JIKA dinilai prestasi semasa, kelab dari Jepun, Vissel Kobe tampak berada dalam kedudukan terbaik untuk mencipta kemenangan pada aksi pertama Kumpulan G apabila melayani kunjungan Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL), di Park Stadium Misaki, esok.

Namun apa sahaja boleh berlaku dan kejutan mampu dilakukan skuad bimbingan Benjamin Mora ibarat membujur lalu melintang patah tatkala tidak gentar untuk berdepan wakil Jepun itu yang pernah mewarnai kancah Liga Perdana Inggeris (EPL) dan La Liga Sepanyol.

Apa yang harus ada buat setiap pemain Harimau Selatan adalah keyakinan dan semangat juang kental untuk mengetepikan status pasukan bukan pilihan.

Sebaliknya turun beraksi dalam tempoh 90 minit dengan memberi sepenuh fokus tanpa menghiraukan reputasi gah skuad bimbingan Thorsten Fink.

Walaupun Vissel Kobe meraih tonik yang berharga selepas menjuarai Piala Super Fuji Xerox, baru-baru ini, barisan pemain JDT juga harus bangga apabila dinobatkan Kelab Terbaik Piala AFC sepanjang dekad, sekali gus membuktikan betapa pasukan Harimau Selatan itu bukan `kaleng-kaleng'.

Tanpa kelibat Liridon Krasniqi dan Leandro Velazquez yang tidak bersama skuad Harimau Selatan untuk aksi ACL, kelibat Hariss Harun dan Natxo Insa akan dipertaruhkan bagi menyekat kelicikan bekas pemain antarabangsa Sepanyol, Andres Iniesta yang juga tonggak utama lawan. Bagaimanapun skuad bimbingan Fink yang digelar Ushi dalam kancah Liga 1 Jepun (J1 League) harus berwaspada dengan rangkaian serangan tiga serangkai yang diterajui Diog Luis Santo, Gonzalo Cabrera dan Safawi Rasid yang mampu menjadi duri dalam daging buat Vissel Kobe.

Hanya agak merisaukan pastinya benteng pertahanan yang tampak masih belum mantap sepenuhnya dan peranan Mauricio Santos amat penting untuk membentuk kombinasi mantap sama ada bakal bergandingan bersama Aidil Zafuan Abd Radzak atau Adam Nor Azlin di benteng pertahanan.

Tugas berat juga menanti bek kiri dan kanan tatkala Corbin Ong akan mengemudi posisi kiri dan kemungkinan S Kunalan akan dipertaruhkan untuk mengawasi posisi kanan selepas Azrif Nasrulhaq Badrul Hisham mengalami kecederaan agak panjang ketika siri jelajah pramusim di Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Apapun, barisan pemain JDT yang tampak berpengalaman dalam kancah saingan ACL untuk musim kedua berturut-turut harus konsisten dan tidak terlalu terikut-ikut dengan corak permainan pasukan lawan malah berusaha untuk sekurang-kurang membawa pulang satu mata.

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 12:24pm
d