arena

Ozil puji impak Arteta

Oleh Reuters

ARSENAL hanya menang tiga kali sejak Mikel Arteta mengambil alih tugas pengurus pada Disember lalu tetapi perancang pasukan, Mesut Ozil berkata, prestasi mereka semakin meningkat hasil pendekatan taktikal yang segar pengendali dari Sepanyol itu.

Arsenal kini menduduki tangga ke-10 Liga Perdana dengan 31 mata, 10 mata di belakang Chelsea di tangga keempat tetapi Ozil berkata, mereka tetap menyasarkan slot kelayakan Liga Juara-Juara dengan berbaki 13 perlawanan.

"Walaupun baharu dua bulan Mikel berada di sini, taktikal kami semakin baik,” kata Ozil kepada wartawan. "Semua orang tahu...posisi di mana mereka patut beraksi atau tahu saat menyerang atau mengenakan banyak tekanan kepada pasukan lawan.

"Kamu tahu musim ini sukar buat kami tetapi kami mahu menang untuk meraih mata bagi menduduki kelompok empat teratas. Matlamat kami untuk mara ke Liga Juara-Juara.”

Arteta yang mengambil alih tugas daripada jurulatih sementara, Freddie Ljungberg berkata sebelum ini dia berharap sesi latihan pertengahan musim di Dubai dapat membantu pemain menerima ideanya dengan cepat bagi memastikan keputusan lebih positif diraih pada babak kedua kempen musim ini.

Bercakap mengenai masa depan bersama Gunners, Ozil berkata dia tidak pasti apa akan berlaku apabila kontraknya tamat tahun depan.

"Selepas musim ini, saya ada setahun lagi dan selepas itu saya tidak tahu apa akan berlaku kerana saya tak nampak masa depan,” katanya.

"Apa yang boleh saya lakukan ialah memberikan segalanya untuk pasukan dan diri sendiri mencapai kejayaan, kemudian kita tunggu apa akan berlaku selepas itu.” Reuters

Disiarkan pada: February 11, 2020 @ 7:07pm
d