arena

Adebayor sertai Olimpia

Oleh AFP

BEKAS penyerang Real Madrid dan Manchester City, Emmanuel Adebayor menyertai Olimpia, umum juara Paraguay itu hari ini.

Penyerang Togo, yang pernah beraksi di Arsenal, Tottenham dan Crystal Palace ketika lebih sedekad di Liga Perdana Inggeris, menjadi pemain bebas sejak Disember apabila meninggalkan kelab Turki, Kayserispor.

Adebayor, 35, akan menyertai bekas rakan sepasukan di City, Roque Santa Cruz di Olimpia, di mana rakan veterannya itu muncul penjaring terbanyak di liga Paraguay tahun lalu.

"Hello kepada penyokong Olimpia. Terima Kasih atas segalanya, jumpa anda Jumaat nanti," kata Adebayor dalam pesanan yang direkodkan kelab berkenaan.

"Adebayor tidak datang ke sini sebagai satu percutian," kata Presiden Olimpia, Marcos Trovato pada majlis mengumumkan persetujuan pemain itu dan beberapa pemain baharu termasuk penyerang Paraguay berusia 25 tahun, Derlis Gonzalez dari Dynamo Kiev.

Adebayor dijangka dapat diturunkan ketika kempen Copa Libertadores 2020 Olimpia di mana mereka berdepan wakil Brazil, Santos, Defensa y Justicia dari Argentina dan Delfin (Ecuador) dalam Kumpulan G.

Olimpia bekas juara tiga kali Libertadores dan memenangi kejuaraan Paraguay lalu buat kali keempat berturut-turut.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 6:11am
d