arena

Rennes lebur impian Belfort

Oleh AFP

KEMARAAN luar biasa kelab bawahan Belfort dalam saingan Piala Perancis berakhir selepas tewas 0-3 pada peringkat suku akhir kepada juara bertahan, Rennes.

Pasukan Divisyen Empat diberikan sorakan gemuruh ketika muncul di gelanggang yang dipenuhi peminat mereka di Stade Auguste Bonal, gelanggang tuan rumah bagi pasukan Ligue 2, Sochaux.

Belfort melepasi kelayakan termasuk mengetepikan pasukan yang memburu tempat di Liga Juara-Juara, Montpellier pada pusingan terdahulu.

Rennes yang berada di kedudukan ketiga Ligue 1 dan berharap layak dalam kejohanan utama kelab Eropah musim depan diberi tentangan sengit lawan.

"Tiada apa yang kami kesalkan," kata jurulatih Belfort, Anthony Hacquard.

"Kami sememangnya pasukan amatur jadi kami hanya berbangga untuk berada di peringkat ini. Untuk melihat semua orang datang ke stadium membuatkan kami bangga."

Jaringan pada separuh masa pertama oleh Raphinha, sepakan percuma M'Baye Niang 16 minit sebelum tamat permainan serta serangan pantas, Jordan Siebatcheu di minit akhir perlawanan mengesahkan kemenangan ke atas Belfort.

Malah jaringan mungkin bertambah jika tidak kerana aksi cemerlang penjaga gol berusia 18 tahun Belfort, Eddy Ehlinger menyelamatkan beberapa percubaan tepat ke gawang gol.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 9:35am
d