arena

RM160,000 naik taraf Stadium Darul Makmur

Oleh Asrol Awang

KERAJAAN Pahang memperuntukkan RM160,000 untuk menaik taraf kemudahan Stadium Darul Makmur, Kuantan sebagai persediaan menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Daripada jumlah itu, RM100,000 diperuntukkan untuk menaik taraf lampu limpah dan aksesori tambahan, kemudahan kerusi pemain (RM50,000) dan penyelenggaraan rumput (RM10,000).

Pengurus Perbadanan Stadium Darul Makmur (PSDM), Mohamad Nasir Jusoh berkata, sebelum bermulanya saingan Liga M, khususnya Liga Super, perbadanan itu mempertingkatkan kemudahan di stadium itu.

"Peruntukan RM100,000 itu membabitkan kos pemasangan dan penyelenggaraan lampu limpah yang memenuhi piawaian yang ditetapkan dari segi tahap pencerahan.

"Selain itu, penambahbaikan kemudahan kerusi pemain itu selaras dengan syarat yang ditetapkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) terutama keselesaan," katanya.

Mengulas kos penyelenggaraan padang pula, beliau berkata, seperti sedia maklum bahawa padang Stadium Darul Makmur antara padang rumput yang terbaik di negara ini.

Katanya, kos itu membabitkan kerja membaik pulih rumput, pengisian tanah baja dan siraman yang konsisten bagi tujuan kesuburan rumput.

"Keadaan padang yang dalam keadaan baik juga atas kehendak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Oleh itu, penambahbaikan yang dilaksanakan itu memberi keselesaan khususnya kepada pemain sebaik saingan Liga M bermula nanti," katanya.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 12:21pm
d