arena

Terengganu yakin pertahan mahkota SUKMA

Oleh Malik Muhamad

BERDASARKAN prestasi semasa atlet, Terengganu berkeyakinan mampu mempertahankan kejuaraan Sukan Malaysia (SUKMA) yang bakal membuka tirai pada 11 hingga 19 Julai depan di Johor.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini persiapan kontinjen negeri sudahpun memasuki fasa latihan terakhir yang menumpu kepada pengukuhan mental, rohani, penguasaan taktikal serta kesempurnaan teknikal.

"Kita yakin mampu mengekalkan kejuaraan sukan dwitahunan itu. Bagaimanapun kita tidak boleh dedahkan sasaran pingat buat masa ini kerana ia sebahagian daripada strategi kontinjen.

"Selain itu atlet juga sudah dihantar menjalani beberapa latihan di luar negara bagi mengelak kekuatan serta kelemahan pasukan dikesan atau dimanipulasi pasukan bertanding.

"Ada beberapa sukan yang menjadi sandaran utama kami mengutip pingat seperti kanu, basikal, judo dan sebagainya," ujarnya selepas majlis pentauliahan ketua kontinjen Chef De Mission (CDM), Timbalan ketua CDM, bapa angkat dan jabatan angkat kontinjen SUKMA 2020 Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Dalam majlis itu, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Zainal Abidin Hussin yang juga mantan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilantik CDM kontinjen SUKMA Terengganu 2020.

Lantikan itu berdasarkan pengalaman luas dimiliki beliau selain kecemerlangannya membawa Terengganu menjulang kejuaraan sukan itu sebanyak dua kali iaitu pada 2011 dan 2012.

Dalam majlis itu, Dr Ahmad Samsuri turut menyampaikan insentif skim wakil negara dan insentif hadiah kemenangan kepada 94 atlet Terengganu yang mengharumkan negara pada temasya Sukan SEA ke-30 di Filipina 2019 berjumlah hampir RM100,000.

Pada SUKMA 2018 di Perak, Terengganu yang membariskan 555 atlet merangkul juara keseluruhan selepas mengutip 56 emas, 51 perak dan 53 gangsa.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 7:13pm
d