arena

Jersi Merah kekal milik Aiman

Oleh Aida Adilah Mat

TIADA mata tambahan berjaya diraih penyandang Jersi Merah dari pelumba Team Sapura Cycling, Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff biarpun saingan Peringkat 6 dari Taiping ke Pulau Pinang menawarkan dua zon pecutan.

Namun begitu, Aiman masih berjaya mengekalkan jersi yang disarungnya sejak peringkat ketiga.

Pelumba kelahiran Setiu, Terengganu itu dijangka tidak berdepan masalah untuk terus kekal sebagai penyarung Jersi Merah esok apabila laluan Peringkat 7 di Bagan menuju Alor Setar sejauh 130.4km tidak menawarkan zon pendakian.

“Esok laluan landai jadi strategi saya untuk membantu rakan pasukan (Danilo Celano) kekalkan Jersi Kuning. Saya akan cuba simpan tenaga untuk peringkat 8 di Pulau Langkawi dan pastikan jersi ini kekal milik saya kerana ada tujuh zon pendakian ditawarkan,” katanya. Mengulas mengenai perlumbaan dari Taiping ke Pulau Pinang, pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2018 itu berkata, dia cuba untuk meraih mata pada di zon pendakian pertama di Teluk Kumbar namun tidak berjaya kerana empat pelumba terlebih dahulu membuat pemecahan awal.

Kelompok pemecah itu turut menguasai zon pendakian kedua di Teluk Bahang biarpun peloton berjaya menangkap kelompok berkenaan ketika perlumbaan berbaki 30km sebelum tamat.

Aiman kini selesa mendahului senarai pendahulu Jersi Merah dengan 30 mata.

Mengekorinya ialah pelumba Perancis, Quentin Pacher (B&B Hotels-Vital Concept KTM) 20 mata dan pemenang peringkat keempat Kevin Rivera (Androni Giocatoli-Sidermec) ketiga dengan 15 mata.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 8:49pm
d