arena

Fazriq teruja dipantau Cik Bun

Oleh Ferzalfie Fauzi

PEMAIN badminton remaja negara, Fazriq Razif mengakui teruja apabila akan dipantau dengan lebih menyeluruh oleh bapa saudaranya sendiri, Datuk Misbun Sidek yang dilantik menjadi Pengarah Pembangunan Remaja Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Menurut pemain berusia 16 tahun itu, dia bersyukur kerana akhirnya bakal mendapat tunjuk ajar dari bapa saudaranya yang dipanggil dengan panggilan mesra, 'Cik Bun'.

"Saya rasa beliau akan dapat membantu saya untuk meningkatkan lagi prestasi saya. Ini kerana sasaran saya tahun ini ialah meraih sebanyak mungkin kejayaan di peringkat antarabangsa," katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Kehadiran Misbun juga dijangka mampu membantunya untuk cuba meraih pingat di Kejohanan Remaja Asia dan Dunia.

"Saya memang tidak sabar mengikut segala program latihannya kerana beliau sudah banyak melahirkan juara seperti Hafiz Hashim dan Datuk Lee Chong Wei. Jadi saya harap satu hari nanti dengan sentuhannya saya mampu menjadi pemain nombor satu dunia," kata Fazriq yang juga anak kepada legenda badminton negara, Datuk Razif Sidek.

Dalam pada itu, Fazriq juga mengakui duduk sebumbung bersama pemain senior di Akademi Badminton Malaysia (ABM) memberi banyak manfaat kepada pemain remaja.

"Ini kerana kami boleh belajar daripada senior terutama dari sudut disiplin. Mereka memberi contoh dan teladan kepada kami," katanya.

Tahun lalu Fazriq muncul naib juara Cabaran Antarabangsa Remaja Malaysia dan juara Cabaran Antarabangsa Remaja Bangladesh ketika bergandingan bersama Justin Hoh.

Disiarkan pada: February 12, 2020 @ 9:32pm
d