arena

Muniain beri kelebihan kepada Athletic Bilbao

Oleh AFP

KAPTEN Iker Muniain menjaringkan gol tunggal perlawanan sekali gus membantu Athletic Bilbao menewaskan Granada 1-0 pada aksi pertama separuh akhir Piala Raja Sepanyol, pagi ini.

Muniain, 27, dilayangkan kad merah ketika kekalahan 2-1 pasukannya kepada Real Sociedad dalam aksi La Liga hujung minggu lalu.

Bagaimanapun dia menebus kesilapannya dengan menjadi wira kemenangan pasukan selepas memanfaatkan hantaran Inaki Williams tiga minit sebelum rehat untuk jaringan tunggal perlawanan itu.

Jurulatih Athletic, Gaizka Garitano membariskan kesebelasan sama yang mengejutkan Barcelona pada aksi suku akhir minggu lalu.

Mereka hampir membawa bekalan selesa untuk aksi timbal balik jika dua jaringan tidak dibatalkan kerana ofsaid.

“Secara jujurnya, kami tidak sedap hati selepas perlawanan ini,” kata Garitano.

“Di dalam bilik persalinan, tidak ada sesiapa pun yang gembira.

“Apabila anda tidak gembira kerana anda melakukan kesilapan, anda perlu menerimanya. Tetapi kami sukar mencipta peluang jaringan.”

Athletic Bilbao memenangi Piala Raja Sepanyol pertama mereka pada tahun 1930 selepas menewaskan Real Madrid 3-2.

Dengan 23 gelaran, mereka kini di tangga kedua dalam senarai juara di belakang Barcelona yang mengumpul 30 kejuaraan.

Kali terakhir Athletic memenangi kejohanan itu adalah pada tahun 1984 selepas menewaskan Barca 1-0.

Aksi perlawanan kedua peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 5 Mac ini.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 8:32am
d