arena

Neymar tak pasti lawan Dortmund

Oleh AFP

BINTANG Paris Saint-Germain dari Brazil, Neymar belum pasti turun beraksi menentang Borussia Dortmund dalam saingan peringkat pertama 16 terakhir Liga Juara-Juara minggu depan, menurut jurulatih, Thomas Tuchel hari ini.

Pemain termahal dunia itu terlepas tiga perlawanan akibat kecederaan dada sejak menewaskan Montpellier 2 Februari lalu.

“Saya tak boleh kata dia 100% akan beraksi menentang Dortmund,” kata Tuchel selepas mereka membelasah Dijon pada saingan suku akhir Piala Perancis, awal pagi tadi.

PSG akan menunggu sehingga saat akhir sebelum membuat keputusan mengenai peluang Neymar berdepan Amiens dalam aksi Ligue 1 hujung minggu ini.

“Kami akan berbincang dan membuat keputusan esok. Kami tak boleh menanggung risiko mengenai kecergasannya,” kata Tuchel.

Neymar yang berusia 28 tahun menyertai PSG pada 2017 dengan harga 222 juta euro (RM1 bilion) terlepas aksi musim lalu ketika tewas pada peringkat sama kepada Manchester United dalam saingan Liga Juara-Juara akibat kecederaan kaki.

Rakan sepasukan Neymar - Marquinhos, Presnel Kimpembe, Marco Verratti dan Idrissa Gueye turut tidak beraksi ketika menewaskan Gijon dan berkemungkinan tersisih menentang Amiens.

“Kami tak mahu tanggung risiko menentang Amiens, ia jelas. Kami akan mempunyai skuad yang kuat tetapi jika ada sedikit keraguan, kami tidak akan menanggung risiko,” kata Tuchel.

Kelab Paris itu tidak pernah melepasi halangan suku akhir Liga Juara-Juara dan akan berkunjung ke Dortmund pada awal pagi Rabu minggu depan dalam saingan peringkat pertama 16 terakhir.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 9:55pm
d