arena

Stadium baharu JDT boleh digunakan Mac ini

Oleh Firdaus Hashim

JOHOR Darul Ta'zim (JDT) yakin stadium baharu iaitu Stadium Sultan Ibrahim akan siap sepenuhnya dan boleh digunakan sebelum bermula saingan Liga Malaysia (Liga-M) pada 28 Februari ini serta aksi pertama di tempat sendiri dalam kempen Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang Suwong Bluewings pada 3 Mac nanti.

Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards berkata, satu pemeriksaan akhir akan dilakukan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) pada Selasa dan Rabu depan.

Justeru, beliau percaya skuad Harimau Selatan akan sempat menyiapkan dan memenuhi segala spesifikasi pertandingan AFC untuk memastikan stadium itu dapat digunakan bagi perlawanan di laman sendiri.

"Kelab bola sepak JDT ingin menyatakan Stadium Sultan Ibrahim akan mengadakan proses pemeriksaan akhir oleh badan pengelola bola sepak FAM, MFL dan AFC pada 18 dan 19 Februari ini.

"Pemeriksaan adalah untuk meluluskan penggunaan stadium baharu ini dalam pertandingan Liga Malaysia dan juga ACL. Kerja-kerja akhir untuk memenuhi keperluan teknikal juga hampir siap," katanya.

Terdahulu, Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul mengesahkan venue baharu JDT itu belum pasti diberikan kebenaran untuk digunakan susulan beberapa aspek spesifikasi masih belum sempurna.

Lantas ia mengundang kemungkinan juara enam kali berturut-turut Liga Super itu terpaksa kembali menggunakan Stadium Larkin ketika saingan liga tempatan hanya tinggal dua minggu untuk dimulakan.

JDT dijadual bertemu Kedah dalam aksi pembuka tirai Liga-M bagi merebut Piala Sumbangsih di Stadium Sultan Ibrahim hujung bulan ini.

Disiarkan pada: February 13, 2020 @ 10:32pm
d