arena

Sociedad punya kelebihan ke atas Mirandes

Oleh Reuters

REAL Sociedad di landasan tepat untuk mara ke final Piala Raja Sepanyol buat julung kali dalam tempoh 32 tahun selepas menewaskan kelab divisyen dua, Mirandes, 2-1 di laman sendiri pada separuh akhir pertama pagi ini.

Pemain kebangsaan Sepanyol, Mikel Oyarzabal meledak gol pendahuluan tuan rumah pada minit kesembilan.

Begitupun Mirandes, pasukan yang menyingkirkan tiga kelab La Liga sebelum mara separuh akhir, menyamakan kedudukan menerusi penyerang Brazil, Matheus Rodrigues pada minit ke 40.

Perancang tengah Sociedad dari Norway, Martin Odegaard yang melakukan kesilapan ketika gol penyamaan menebusnya tiga minit kemudian dengan merembat masuk bola ke gawang gol untuk mendahului.

Skuad the Basque mempunyai beberapa peluang namun dinafikan penjaga gol Limones sekali gus memberi harapan tipis bagi perlawanan kedua bulan depan di gelanggang keramat Estadio Municipal de Anduva di mana mereka menewaskan Celta Vigo, Sevilla dan Villarreal musim ini.

Disiarkan pada: February 14, 2020 @ 7:56am
d