arena

Tengku Djan hampiri kejuaraan

Oleh Firdaus Hashim

PEMANDU pasukan 23 Motors, Tengku Djan Ley semakin hampir untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan kategori Super Sporting dalam saingan Toyota Gazoo Racing Festival (TGR Festival) musim ini.

Tengku Djan nyata berada pada kelas tersendiri apabila mendahului perlumbaan sejak awal dengan berjaya menamatkan saingan di depan Mark Darwin dari pasukan Laser Motor Racing dan Brendan Paul Anthony yang mewakili Dream Chaser.

Jelas Tengku Djan, perlumbaan yang berlangsung di perkarangan Stadium Batu Kawan, Pulau Pinang itu cukup sukar dengan setiap pencabar memberikan saingan yang sengit.

“Keadaan hari ini sangat panas dan semua orang bergelut dengan cengkaman. Mark pantas dan saya hanya perlu memberi tumpuan dan memandu dengan sebaik mungkin.

“Trek ini juga tidak sukar. Ia adalah perlumbaan yang hebat dan saya hanya perlu mengekalkan fokus sehingga ke garisan penamat,” katanya selepas tamat saingan pusingan ketiga itu.

Sementara itu, dua lagi kategori lain iaitu Sporting dan Promotional menyaksikan Hayden Haikal dan Shawn Lee masing-masing mengekalkan penguasaan dalam kategori itu.

Disiarkan pada: February 15, 2020 @ 9:18pm
d