arena

PSG cemas di kubu lawan

Oleh Reuters

JUARA Perancis, Paris St Germain seri 4-4 dalam aksi sengit menentang Amiens selepas mereka bangkit daripada ketinggalan 0-3 namun melepaskan gol penyamaan buat tuan rumah pada minit akhir perlawanan, awal pagi tadi.

Jaringan Serhou Guirassy, Gael Kakuta dan Fousseni Diabate di Stadium Licorne membolehkan Amiens yang menduduki tangga ke-19 mendahului 3-0 sebelum Ander Herrera menjaringkan gol pertama PSG menerusi rembatan dalam kotak penalti sejurus sebelum rehat. Dua lagi jaringan hasil tandukan Tanguy Kouassi pada babak kedua dan tolakan jarak dekat Mauro Icardi membolehkan PSG mendahului perlawanan 4-3 pada minit ke-74.

Pelawat kemudiannya terlepas beberapa peluang terbaik dan mereka dihukum pada minit akhir apabila Guirassy menyamakan kedudukan menerusi rembatan dalam kotak penalti seleps mendapat hantaran cantik pemain gantian, Quentin Cornette.

Keputusan seri itu membolehkan PSG berkelebihan 13 mata di puncak Ligue 1.

Pasukan di tangga kedua, Olympique Marseille menentang Lille di tangga keempat malam ini dan Stade Reims menerima kunjungan pasukan tangga ketiga Rennes.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 7:59am
d