arena

Griezmann bantu Barcelona atasi Getafe

Oleh AFP

ANTOINE Griezmann menembusi gawang Getafe dalam aksi La Liga awal pagi tadi namun Barcelona terpaksa cekal bertahan sehingga saat akhir sebelum menang 2-1 di Nou Camp.

Keputusan itu membolehkan Barcelona sama mata dengan Real Madrid di puncak La Liga sebelum pendahulu liga itu menerima kunjungan Celta Vigo, awal pagi esok.

Dalam perlawanan fizikal itu, bintang Barca, Jordi Alba terpaksa dikeluarkan pada babak pertama.

Tweeter kelab selepas perlawanan menyatakan Alba mengalami kecederaan otot kanan dan akan menjalani ujian lanjut.

Gergasi Catalan itu akan menentang Napoli dalam saingan 16 terakhir Liga Juara-Juara di Napoli pada awal pagi Rabu.

Penyerang Barcelona, Luis Suarez and Ousmane Dembele tidak dapat beraksi susulan kecederaan jangka panjang.

Griezmann menyudahkan hantaran cantik Lionel Messi pada minit ke-33 dengan menyungkit bola melepasi jangkauan penjaga gol David Soria yang meluru keluar daripada kawasannya.

Sergi Roberto menggandakan jaringan enam minit kemudian menerusi rembatan kencang ke penjuru gawang lawan selepas menerima hantaran pengganti Alba, Junior Firpo.

Tetapi Getafe yang menduduki tangga ketiga La Liga selepas empat kemenangan berturut-turut tanpa melepaskan sebarang gol mencemaskan 80,409 penyokong tuan rumah dan Angel Rodriguez meledak voli untuk merapatkan jurang pada minit ke-66.

Rodriguez hampir menyamakan kedudukan untuk Getafe pada minit ke-73 selepas berlaku perebutan dalam kotak penalti yang menyaksikan penjaga gol, Marc-Andre ter Stegen menyelamatkan bola di atas garisan gol.

Sementara itu, Mallorca melepasi zon penyingkiran selepas Cucho Hernandez menjaringkan gol tunggal menewaskan Alaves 1-0.

Kunjungan Real Sociedad ke Eibar terpaksa dibatalkan susulan kualiti udara yang buruk selepas tanah runtuh melanda pusat pelupusan sampah, menurut pengumuman kelab.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 9:18am
d