arena

Harrif, Nur Aiman cetus sejarah di LTdL

Oleh Aida Adilah Mat

DUA sejarah dicipta oleh pelumba tempatan yang amat membanggakan pada perlumbaan PETRONAS Le Tour de Langkawi (LTdL) 2020 menerusi Mohd Harrif Saleh dan Muhamad Nur Aiman Mohd Zariff.

Harrif memahat sejarah muncul pelumba Asia pertama menang tiga peringkat LTdL manakala Aiman muncul pelumba Malaysia terbaik pada edisi kali ini dengan menduduki tangga ke-35 daripada 107 peserta yang melengkapkan perlumbaan.

Belum ada mana-mana pelumba negara yang melakarkan kejayaan seperti mereka selepas 25 tahun penganjurannya.

Apa yang menarik, kedua-duanya mempunyai persamaan iaitu berasal dari Terengganu dan bukan dari keluarga yang senang namun mencipta kegemilangan dalam sukan berbasikal.

Mereka seperti adik dan abang apabila Harrif tidak kekok membantu Aiman dan apa yang dimilikinya pasti akan dikongsi bersama Aiman terutama barangan basikal seperti kasut dan baju.

Kata Harrif, Aiman memiliki bakat luar biasa dan dia semangnya 100 peratus dilahirkan sebagai pelumba basikal yang mampu mengukir nama di pentas dunia satu hari nanti.

“Saya dan Aiman memang kenal dari kecil. Dia selalu datang rumah. Jadi kalau ada barang lebih kami kongsi sama-sama.

“Tiada rasa iri hati kalau tengok ada pelumba Terengganu yang berjaya. Siapa saja menang Sapura atau Malaysia saya tetap tumpang bangga kerana masing-masing tahu kerja masing-masing.

“Saya tahu Aiman boleh berjaya. Dia ada bakat dan lain daripada yang lain. Kalau buat sesuatu dia buat bersungguh-sungguh. Cuma Aiman ini seorang yang pendiam dan suka pendam tetapi itulah karakter Aiman,” katanya.

Harrif dan Aiman pernah bergandingan bersama dalam pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) sebelum pelumba berusia 23 tahun itu berhijrah untuk bersama Team Sapura Cyling.

Kata Harrif, dia berharap Aiman akan terus maju ke depan dan jangan mengalah dengan setiap dugaan yang dilalui kerana untuk memperolehi berjayaan bukan mudah.

Disiarkan pada: February 16, 2020 @ 7:15pm
d