arena

Lazio himpit Juve di puncak Serie A

Oleh AFP

JURULATIH Lazio, Simone Inzaghi melaungkan amaran skuadnya sedia berjuang merebut gelaran pertama Serie A sejak 2000 selepas menduduki tangga kedua, hanya satu mata di belakang pendahulu, Juventus hasil kemenangan 2-1 ke atas Inter Milan, awal pagi tadi.

Juventus merampas kembali takhta liga menerusi jaringan Paulo Dybala dan Juan Cuadrado ketika menewaskan Brescia 2-0 di tempat sendiri.

Inter Milan jatuh dari tempat pertama ke tangga ketiga -- tiga mata di belakang juara lapan kali selepas tewas kali kedua musim ini.

"Kami perlu kekal merendah diri dan fokus tetapi saya yakin kami akan berjaya, " kata Inzaghi.

"Kami tahu Juventus dan Inter dua pasukan hebat dan kami akan melakukan yang terbaik sehingga saat akhir walaupun ia sangat sukar.”

Dalam aksi sengit di Stadio Olimpico, pemain pertahanan, Ashley Young menamatkan kebuntuan jaringan sejurus sebelum rehat untuk jaringan pertamanya bersama Inter Milan sejak berpindah dari Manchester United.

Pemain berusia 34 tahun itu memanfaatkan bola muntah tampanan penjaga gol tuan rumah, Thomas Straskosha yang cuba menyelamatkan rembatan bekas pemain Lazio, Antonio Candreva.

Kekasaran Stefan de Vrij ke atas Ciro Immobile membolehkan penjaring terbanyak Serie A itu menjaringkan gol lima minit selepas rehat, jaringan ke-26nya daripada 24 perlawanan musim ini.

Sergej Milinkovic-Savic muncul wira dengan jaringan kemenangan pada minit ke-69 selepas berlaku kelam kabut dalam kotak penalti.

Lazio meneruskan momentum tanpa kalah kepada 19 perlawanan dengan misi gelaran Scudeto kedua selain slot Liga Juara-Juara musim depan.

Di Turin, penyerang Argentina, Dybala meledak sepakan percuma melencung enam minit sebelum rehat sejurus pemain Brescia, Florian Aye diperintah keluar padang angkara dua kad kuning.

Pemain Colombia, Cuadrado menolak bola dari jarak dekat selepas menerima hantaran Blaise Matuidi ketika permainan berbaki 15 sekali gus menebus duka dua kali kalah di tempat lawan.

Di Sardinia, Napoli kembali meraih kemenangan hasil jaringan tunggal pemain Belgium, Dries Mertens pada minit ke-65 ketika menewaskan Cagliari 1-0.

Jaringan itu yang ke-120 pemain berusia 32 tahun buat Napoli, hanya satu kurang daripada rekod sepanjang zaman milik Marek Hamsik dan lima gol mengatasi legenda kelab, Diego Maradona.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 8:04am
d