arena

Dhaarma pengarah teknikal JABAR

Oleh Malik Muhamad

BUKAN lagi berteka-teki, tapi ia sudah sah buat bekas pengendali hoki skuad wanita kebangsaan, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang bakal menjadi pengarah teknikal Pasukan Hoki Jawa Barat (JABAR) Indonesia.

Dhaarma yang sebelum ini enggan menyambung tugas membimbing pasukan hoki wanita negara susulan tidak lagi sehaluan dengan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) bakal membimbing pasukan baharunya itu bermula April hingga Oktober depan.

Pengendali Pasukan Hoki Terengganu (THT) itu menandatangani kontrak di Above & Beyoun Paskal Hyper Square, Jawa Barat hari ini.

Turut hadir Presiden Federasi Hoki Indonesia (FHI) Jawa Barat, Brigjen Dwi Jati Utomo.

“Saya akan mulakan sesi latihan pada April hingga Oktober tahun ini kerana kejohanan Pekan Olahraga Nasional (PON) 2020 iaitu kejohanan terbesar yang diadakan setiap empat tahun sekali di negara itu akan dilangsungkan pada Oktober.

“Dalam pasukan itu saya akan mengendalikan empat pasukan bersama jurulatih lain, selepas lapan bulan dengan pasukan JABAR itu, saya akan membimbing skuad kebangsaan Indonesia bawah FHI.

"Impian skuad negara itu untuk beraksi di pentas Sukan Olimpik 2032 menarik minat saya untuk berkelana ke negara itu, lagipun FHI juga turut melobi menjadi tuan rumah sukan itu dan saya yakin akan dapat hak penganjuran itu,” ujar Dhaarma.

Beliau berkata selain FHI, turut berminat untuk mendapatkan khidmatnya termasuk kelab dari Jerman, Itali, England, India, China dan Hong Kong.

“Tapi saya lebih berminat dengan pasukan Indonesia dengan pelan pembangunan 12 tahun, saya mahu buktikan dengan pengalaman yang ada saya di sana kerana negara itu menjadi landasan terbaik buat saya untuk mencapai sasaran biarpun skuad kebangsaannya belum lagi terkenal.

“Saya juga bertekad untuk mengasah lebih ramai pemain muda selain untuk tingkatkan kualiti pasukan negara berkenaan yang turut mahu menjadi tuan rumah Kejohanan Hoki Piala Dunia di dalam dewan pada 2023.” katanya.

Disiarkan pada: February 17, 2020 @ 9:38pm
d