arena

Arkitek baharu negara

Oleh Syazwan Msar

PENGENDALI skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mahu memanfaatkan kehadiran pemain naturalisasi kedua negara, Liridon Krasniqi sebagai senjata rahsia menjelang pertemuan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di gelanggang lawan, pada 26 Mac ini.

Beliau tidak berminat menggunakan Liridon sebagai penyerang tengah menggantikan tempat pemain veteran, Norshahrul Idlan Talaha atau bintang muda, Syafiq Ahmad sebaliknya mahu meletakkan pemain kelahiran Kosovo itu sebagai arkitek tengah bergandingan dengan Brendan Gan dan Azam Azih.

Berdasarkan kesebelasan utama ketika menewaskan Indonesia dalam aksi Kumpulan G di Stadium Nasional Bukit Jalil tempoh hari, Cheng Hoe dijangka mengekalkan gandingan 3S di posisi serangan iaitu Syafiq, Safawi Rasid dan Mohamadou Sumareh.

Ini bagi memastikan jentera serangan skuad negara sentiasa bertukar-tukar posisi untuk mengelirukan lawan mirip trio berbisa Liverpool, Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino.

Bagaimanapun, Cheng Hoe percaya Liridon boleh sekali sekala naik membantu serangan seperti dilakukan ketika beraksi dengan Kedah dan Melaka United sebelum ini.

“Saya sudah kenal lama dengan Liridon ketika dia beraksi di Kedah dan mengetahui corak permainan pemain terbabit yang sudah pasti mampu mencorak serangan ke kubu lawan dengan lebih sistematik.

“Jika diikutkan sememangnya kita kekurangan penyerang prolifik, namun jika meletakkan Liridon untuk posisi berkenaan dibimbangi dia tidak akan beraksi cemerlang.

“Oleh itu, lebih baik saya meletakkan dia di posisi sebenar, seterusnya Liridon mampu optimumkan kemampuannya untuk pasukan,” katanya.

Arena Metro semalam melaporkan Liridon sudah mendapat ‘lampu hijau’ daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) untuk beraksi pada perlawanan terbabit, selepas memperoleh kewarganegaraan Malaysia baru-baru ini.

Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, Liridon sudah mendapat kebenaran daripada badan induk bola sepak dunia itu untuk disenaraikan beraksi bersama skuad Harimau Malaya.

Sementara itu, Cheng Hoe berkata, tiada jalan mudah untuk Liridon terpilih mewakili skuad Harimau Malaya sebaliknya perlu melalui sesi pemilihan bersama pemain lain.

“Tiada istilah pilih kasih atau pemain istimewa dalam pasukan kerana mereka perlu melalui sesi pemilihan dan boleh bermain corak permainan yang diterapkan sebelum ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 6:01am
d