arena

Klopp tetap hormati Atletico

Oleh Reuters

PENGURUS Liverpool, Juergen Klopp berkata, pasukannya sudah bersedia menghadapi salah satu kejohanan bola sepak paling mencabar apabila berkunjung ke Atletico Madrid dalam saingan peringkat pertama 16 terakhir Liga Juara Juara awal pagi esok.

Juara Eropah itu yang kini pendahulu Liga Perdana dijangka mampu mara mengatasi skuad Diego Simeone, Atletico yang bergelut di La Liga dan tampak sukar meraih tiket Eropah musim depan.

Klopp bagaimanapun, tetap menghormati Atleti dan berkata, pasukannya perlu meraih prestasi terbaik jika mahu mendapatkan keputusan positif di tempat lawan.

“Ini salah satu jadual paling sukar dalam kehidupan pemain bola sepak,” kata Klopp dalam sidang akhbar awal pagi tadi.

“Mereka sangat beroganisasi dan dalam proses transisi. Itu normal dan mereka berjuang dengan apa yang mereka ada dan sudah pasti sukar menentang mereka.”

“Mereka seperti mesin. Mereka miliki kepantasan, agresif dan falsafah yang jelas. Saya tahu kami berada di negara tiki-taka tetapi saya menyukainya. Bagi saya, semuanya ok.

“Anda perlu berada pada tahap terbaik menentang Atletico atau anda tidak akan berpeluang menang. Itu sebabnya mengapa mereka kerap layak ke final Eropah.”

Selain penyerang Switzerland, Xherdan Shaqiri, Klopp memiliki kesebelasan penuh dalam aksi di Wanda Metropolitano, venue yang menyaksikan Liverpool menjulang trofi pada Jun lalu.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 9:50am
d