arena

Liverpool terima trofi emas istimewa?

Oleh Agensi

LIVERPOOL dijangka menerima trofi emas istimewa Liga Perdana jika mereka menamatkan kempen 2019/20 tanpa kalah, menurut laporan di London.

Reds mendominasi liga musim ini dengan menduduki tangga teratas dan berkelebihan 25 mata ke atas pencabar terdekat, Manchester City.

Sebelum ini skuad Pep Guardiola menjadi pasukan pilihan selepas muncul juara dua kali berturut-turut tetapi Liverpool kini mengatasi semua pencabar mereka.

Skuad Jurgen Klopp menang 25 daripada 26 perlawanan sehingga kini dan hanya seri sekali dengan Manchester United pada awal musim dan tampak bakal menamatkan kemarau 30 tahun kejuaraan liga. Apa yang menjadi persoalannya sekarang ialah adakah mereka mampu sehebat Arsenal yang tidak kalah pada musim 2003/04.

MailOnline melaporkan Liga Perdana sudah pun mula memikirkan untuk menganugerahkan Liverpool trofi emas jika mereka kekal tanpa kalah musim ini tetapi keputusan rasmi mengenainya akan diumumkan pada penghujung musim.

Arsenal turut menerima layanan sama selepas mereka muncul juara pada 2004 dengan 26 kemenangan dan 12 seri dan Arsene Wenger menerima replika trofi emas liga sebagai cenderamata ketika meninggalkan Gunners pada 2018.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 1:21pm
d