arena

Olimpik: penyertaan atlet berkurang

Oleh Syazwan Msar

UTAMAKAN kualiti berbanding kuantiti menyebabkan penyertaan atlet ke sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bermula 24 Julai nanti kemungkinan berkurangan berbanding edisi sebelum ini.

Perkara terbabit disahkan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria apabila memutuskan penyertaan adalah lingkungan 30 atlet sahaja.

Hal ini berbeza dengan penyertaan atlet Malaysia di temasya Olimpik 2016 di Rio Brazil apabila 31 atlet menyertai edisi ketika itu.

Beliau berkata, setakat ini empat sukan membabitkan basikal renang, olahraga dan badminton sudah mengesahkan jumlah atlet yang akan beraksi di Olimpik Tokyo.

“Persatuan Badminton Malaysia (BAM) meletakkan sasaran emas manakala Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) meletakkan matlamat meraih perak.

“Kita akan memberi tumpuan kepada atlet yang bakal beraksi di sukan Olimpik berkenaan seterusnya bekerjasama dengan beberapa pihak untuk membantu mereka.

“Perkara penting adalah fokus kepada atlet dan mungkin akan mengadakan program ‘Road to Olimpik’ untuk tempoh 50 hingga 100 hari sebelum kejohanan terbabit,” katanya ketika ditemui pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, hari ini.

Sementara itu katanya, MOM akan memantau rapi kesihatan dan keselamatan atlet dan pegawai sukan yang akan ke Tokyo susulan penyebaran wabak koronavirus.

“Kita bersama Institut Sukan Negara (ISN) akan sentiasa berhubung dengan pihak tertentu berkaitan perkara terbabit dan akan mengambil langkah pengcegahan sewajarnya nanti,” katanya.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 7:07pm
d