arena

Perang jersi unik

Oleh Firdaus Hashim

KETIKA saingan Liga Super hanya berbaki sembilan hari sebelum sepak mula dilangsungkan, hanya empat pasukan sudah memperkenalkan jersi baharu bagi musim 2020 setakat ini.

Selangor, Kedah, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC antara empat pasukan terawal yang sudah mempromosikan jersi masing-masing dengan lapan pasukan lagi dijangka mengadakannya hujung minggu ini.

Walaupun hanya empat pasukan, namun jika diteliti rekaan yang dipertaruhkan sememangnya cukup menarik sekaligus merancakkan dan merangsang peminat untuk membeli jersi pasukan kesayangan mereka.

Paling mencuri tumpuan sudah semestinya jersi skuad Red Giants yang berani menampilkan keunikan tersendiri apabila buat pertama kalinya melancarkan jersi 'blackout' serba hitam yang tidak pernah digunakan oleh mana-mana pasukan liga tempatan.

Malah, jersi ketiga Selangor itu juga 'lari' jauh daripada warna tradisi pasukan iaitu Merah Kuning namun ia tetap mendapat sambutan luar biasa dikalangan penyokong setia Red Giants.

Begitu, ada juga segelintir penyokong yang mempertikaikan rekaan itu kerana ia menenggelamkan nama penaja pada jersi 'Limited Edition' itu.

Selain jersi Selangor yang dianggap unik, tidak ketinggalan jersi pasukan Kedah yang dianggap seperti papan catur yang berkotak-kotak pada jersi ketiga yang diguna pakai dalam saingan Kelayakan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Malah, ada juga netizen dilaman sosial yang menyamakan rekaan jersi pertama dan kedua skuad Helang Merah itu seperti corak buah tembikai.

Walaupun ia dilihat 'pelik' di mata netizen, namun Kedah masih mengekalkan warna tradisi mereka pada jersi pertama itu yang memaparkan corak anak panah ke atas bermaksud keinginan pasukan untuk meneruskan dan meningkatkan lagi momentum yang diraih pada musim lalu ke tahap yang lebih tinggi pada musim 2020.

Manakala kit jersi kedua serba merah itu pula diinspirasikan daripada corak sayap Helang Merah dengan kedua-dua jersi ini berharga RM109 sehelai.

Juara enam kali berturut-turut Liga Super, JDT turut memperagakan 'uniform' baharu pasukan dengan kali ini tampil tanpa nama penaja di jersi.

Jersi baharu skuad Harimau Selatan itu didatangkan dengan dua rekaan, iaitu jersi merah biru untuk tuan rumah dan jersi di tempat lawan berwarna putih.

Ketiadaan nama penaja pada bahagian hadapan jersi kali ini adalah sinonim dengan misi untuk menjadi kelab bernilai RM1 bilion.

Disiarkan pada: February 18, 2020 @ 11:12pm
d