arena

Hamilton rindu pelukan ayah

Oleh Agensi

LEWIS Hamilton mahu merapatkan semula hubungan dengan bapanya Anthony selepas mereka renggang dalam misi memburu kemahsyuran Formula Satu.

Juara dunia enam kali itu diuruskan bapanya ketika awal pembabitan pada 2007 tetapi mereka berpisah pada 2010 susulan tidak bertegur sapa dalam tempoh lama.

Hamilton, 35, mengakui hubungan dengan bapanya agak sukar tetapi kini teruja untuk kembali rapat selepas menghabiskan masa bersama beberapa ketika sebelum ini.

“Perjalanan kami tidak mudah, kami berdepan banyak halangan sebagai individu dan famili,” kata Hamilton dalam media sosial.

“Bapa dan saya tiada persefahaman dalam beberapa perkara tetapi dia berkerja keras mencipta peluang kepada kami sebagai keluarga dan kerananya juga saya menjadi seperti hari ini. Dalam misi meraih kejayaan sudah pasti ada tekanan. Banyak masa dihabiskan untuk mencapai cita-cita sehingga terlupa sesuatu yang jauh lebih penting, hubungan kami.

“Kami kehilangan hubungan anak dan bapa dan inilah yang kami mahukan semula selepas sekian lama. Beberapa tahun kebelakangan ini, kami berdua kembali rapat dan pada cuti musim sejuk ini saya pelawa ayah datang melawat saya, jadi kami dapat menghabiskan masa bersama, cuma kami berdua sahaja.

“Kami tak melakukannya sebelum ini jadi dapat menghabiskan masa berkualiti dengannya sudah pasti menggembirakan saya.”

Hamilton berharap kisahnya itu dapat menjadi inspirasi kepada orang ramai supaya menjaga dengan baik hubungan keluarga kerana keluarga harta paling bernilai di dunia ini.

“Saya hanya mahu berkongsi dengan anda,” kata Hamilton. “Keluarga paling penting di dunia ini. Mereka bersama anda ketika anda tiada apa-apa.”

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 11:11am
d