arena

'Tocang' terasa kehilangan Davies

Oleh Asrol Awang

PEMAIN pertahanan Pahang, Faisal Rosli atau Tocang mengakui terkesan dengan ketiadaan Matthew Davies ketika skuad itu bakal mengharungi saingan Liga Super pada 29 Februari ini.

Ini kerana dia dan Davies sudah lama bersama skuad Pahang sejak 2015 terutama mengemudi jentera pertahanan skuad Tok Gajah.

Pada masa sama, Faisal berkata, Davies adalah kapten pasukan yang banyak memberi arahan dan bertanggungjawab dalam memperkemaskan Pahang.

“Banyak kenangan manis dan pahit untuk dikenang kerana dia juga adalah kapten dan sudah pasti ketiadaannya memberi kesan yang mendalam buat kami.

“Lebih-lebih lagi, ketiadaan Davies berlaku ketika saingan Liga Malaysia (Liga M) khususnya Liga Super bermula minggu depan.

“Bagaimanapun, perjuangan tetap perlu diteruskan dan saya percaya Pahang tetap berada pada prestasi terbaik untuk menghadapi saingan liga musim 2020,” katanya.

Faisal berkata, perasaan terkilan yang dialami peminat setia Tok Gajah sebaik Davies mengumumkan tidak bersama skuad itu tidak boleh dielakkan.

Namun, sebagai pemain Pahang, dia bersama rakan sepasukan akan mempamerkan prestasi terbaik untuk meletakkan skuad itu melakar keputusan cemerlang.

“Sokongan padu peminat diharap berterusan untuk memberi motivasi dan semangat kepada kami,” katanya.

Isnin lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan Davies, 25 yang bersama Pahang sejak 2015 menyarung jersdi skuad Harimau Selatan.

Ketiadaan Davies itu sudah pasti memberi tamparan buat skaud kendalian Dollah Salleh dalam memperkasakan kubu skuad Tok Gajah.

Disiarkan pada: February 19, 2020 @ 9:34pm
d