arena

Mourinho yakin kebangkitan di Leipzig

Oleh Reuters

JOSE Mourinho berkata Tottenham Hotspur masih mempunyai peluang dalam saingan Liga Juara-Juara sekalipun tewas 0-1 kepada RB Leipzig dalam perlawanan pertama kelompok 16 terakhir pagi ini.

Pengendali berpengalaman Portugal itu dibayangi jurulatih muda Leipzig, Julian Nagelsmann namun persembahan dominan mereka hanya dibalas dengan penalti Timo Werner pada minit ke-58.

“1-0 ialah 1-0, ia bukan 10-0. Keputusan masih terbuka. Ia semudah itu,” kata Mourinho.

“Kami bukan pasukan pertama boleh tewas 1-0 di laman sendiri dan menang di tempat lawan.”

Leipzig perlu diingatkan bahawa Tottenham menampilkan kebangkitan hebat di tempat lawan musim lalu untuk mara ke final, paling diingati apabila tewas 0-1 kepada Ajax Amsterdam di gelanggang sendiri di peringkat separuh akhir dan ketinggalan 0-2 sebelum menang 3-2 di tempat lawan.

Tetapi Tottenham semakin merudum sejak itu dan cabaran Mourinho tidak dibantu dengan kecederaan yang menyebabkan dia tidak dapat menggunakan penyerang utama, Harry Kane dan Son Heung-min serta pemain tengah, Moussa Sissoko berdepan Leipzig.

Mereka tampak bergelut untuk menyesuaikan diri dengan gaya permainan serangan yang menjadi taktik jurulatih muda, Nagelsmann, yang digambarkan di Hoffenheim sebagai ‘mini Mourinho’ dengan penjaga gol Hugo Lloris boleh menerima kekalahan lebih besar.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 10:31am
d