arena

Suntikan RM22.5 juta demi emas pertama

Oleh Saiful Affendy Sapran

’PECUTAN akhir’ dilakukan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) apabila memperuntukkan suntikan dana sebanyak RM22.5 juta sebagai persediaan atlet ke Sukan Olimpik Tokyo yang juga misi untuk mendapatkan pingat emas pertama negara.

Dana di bawah program Road To Tokyo (RTT) untuk tempoh Januari sehingga Ogos itu membabitkan pecahan sembilan acara sukan dengan berbasikal memperoleh dana terbesar iaitu sebanyak RM8,378,654 juta.

Lapan lagi sukan yang menerima dana itu adalah badminton (RM6,454,644 juta), akuatik terjun (RM2,323,806 juta), pelayaran (RM1,962,095 juta), memanah (RM940,710), golf (RM738,000 juta), gimnastik artistik (RM644,905), karate (RM588,975) dan akuatik renang (RM477,000).

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia adalah jumlah semasa yang diperuntukkan dan mungkin bakal bertambah apabila menghampiri temasya sukan terbesar dunia itu yang akan membuka tirainya 24 Julai depan.

“Apabila ada keperluan untuk pecutan akhir, kami akan memperuntukkan dana tambahan.

“Persediaan dan usaha untuk menantikan emas pertama negara di Sukan Olimpik sudah dilakukan sejak berpuluh tahun.

“Sebab itu dalam apa juga kapasiti persatuan atau kementerian, kami akan cuba membantu atlet untuk layak ke Tokyo.

“Lebih-lebih lagi jika ia membabitkan prospek untuk menyumbang emas. Kami akan berusaha untuk memberikan yang terbaik kepada atlet,” katanya.

Beliau ditemui selepas mempengerusikan ahli Majlis Sukan Negara (MSN), Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia (Sukma) dan program RTT 2020 hari ini.

Sementara itu, Syed Saddiq mengumumkan Kelantan akan menjadi tuan rumah Sukma buat kali pertama pada 2024.

Jelas Syed Saddiq, untuk edisi 2022, hak penganjuran masih belum muktamad kerana terdapat cadangan penggiliran tuan rumah untuk diberikan kepada MSN dan berlangsung di Bandar Sukan Bukit Jalil tetapi tiga negeri turut membuat bidaan.

Disiarkan pada: February 20, 2020 @ 7:13pm
d